Selasa, April 01, 2008

Siri Patani 1

LATARBELAKANG SEJARAH DAN MASYARAKAT

MELAYU PATANI

Hamdan Dato’ Mohd. Salleh


1.1 Sejarah AwalLangkasuka dan Patani

Dari sudut persejarahan, Negeri Patani memiliki sejarah yang cukup lama, jauh lebih lama daripada sejarah kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu[1]. Patani telah lama wujud sebagai sebuah kerajaan yang agung dan maju dalam pelbagai bidang[2].

1.1.1 Langkasuka dan Patani

Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kerajaan Melayu purba bernama Langkasuka telah diasaskan sekitar kurun pertama masihi.[3] Paul Wheatly turut menyatakan bahawa Langkasuka terletak di Patani sekarang. Pendapat beliau dikuatkan dengan temuan kepingan batu-batu purba peninggalan kerajaan Langkasuka di daerah Jering dan Pujud.[4]

Kerajaan lama ini menguasai satu kawasan yang luas di sekitar Segenting Kra dan di kawasan dimana Patani sekarang berada.[5] Ini dijelaskan dalam sumber-sumber China sekitar abad ke-6 seperti Lang-ya-hsiu yang merekodkan bahawa telah wujud sebuah kerajaan yang telah diasaskan 400 sebelum itu. [6] Turut dinyatakan dari sumber yang sama bahawa kerajaan tersebut merupakan sebuah kerajaan yang makmur dan ramai penduduknya. [7]

Sejarah lama Patani turut merujuk kepada kerajaan Melayu tua berpengaruh Hindu-India bernama Langkasuka ini sebagaimana dikatakan oleh Paul Wheatley[8]. Ini disokong oleh seorang ahli antropologi sosial di Prince of Songkla University di Patani, Seni Madakul bahawa Langkasuka itu terletak di Patani.

Ini ditegaskan juga oleh John Braddle yang menyatakan bahawa kawasan timur Langkasuka meliputi daerah pantai timur Semenanjung, mulai dari Senggora, Patani, Kelantan sampai ke Terengganu, termasuk juga kawasan sebelah utara negeri Kedah.[9]

Kawasan ini telah didatangi pedagang dari Arab, India dan China sejak sebelum masehi lagi[10]. Seorang pengembara China menyebutkan bahawa ketika kedatangannya ke Langkasuka pada tahun 200 masehi, ia mendapati negeri itu telah lama dibuka[11].

Sebelum menjadi negeri Islam, Patani atau Langkasuka waktu itu terkenal sebagai kerajaan Hindu Brahma[12]. Rajanya yang terkenal adalah Bhagadatta yang telah membuat hubungan diplomatik dengan kerajaan China pada tahun 515 M[13]. Ketika kerajaan Sriwijaya berjaya menakluki Nakorn Sri Thamarat (sekarang Ligor di Thailand) pada 775 M dan kemudian mengembangkan kekuasaannya ke selatan (Patani), penduduk Patani mula meninggalkan agama Hindu dan memeluk Buddha[14]. Sebuah berhala Buddha zaman Sriwijaya yang ditemui dalam gua Wad Tham di daerah Yala membuktikan transmisi pertukaran agama dari Hindu ke Buddha[15].

Ketika di bawah pengaruh Sriwijaya inilah Patani mulai menampakkan kemajuan, dengan penduduk yang ramai serta menjadi sebuah kerajaan yang terkenal. Hasil negeri Patani pada waktu itu banyak berasaskan pertanian dan perniagaan. Beberapa pengetahuan bernilai seperti teknik membajak dan berdagang diterima oleh orang Patani dari orang Jawa. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan Sriwijaya inilah yang membawa dan mengembangkan bahasa Melayu ke Patani. Nilai ufti yang tinggi yang diberikan pada setiap tahun kepada kerajaan Sriwijaya menunjukkan bahawa Patani ketika itu amat kaya dan makmur.

Abdul Rahman Abdullah berpendapat selepas lenyapnya nama Langkasula, wujud sebuah kerajaan bernama Wurawari yang membawa maksud air jernih. Adalah dipercayai bahawa Raja Bharubhasa dari Langkasuka terpaksa menyerahkan kekuasaannya kepada Siam pada tahun 1345. Baginda telah berundur dan mendirikan kerajaan di Kelantan. Apabila angkatan tentera Gajah Mada berjaya mengalahkan tentera Siam di Temasik pada tahun 1536, baginda mengambil kesempatan untuk menyerang tentera Siam di Langkasuka. Menerusi serangan tersebut, Raja Bharubhasa berjaya merampas semula Kota Mahligai. Menurut rekod, nama Langkasuka ditukar terlebih dahulu kepada Wurawari antara tahun 1357-1398.[16]

Terdapat dua pendapat berkenaan penubuhan Patani. Di dalam buku sejarah negeri Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa, ada menyebutkan bahawa negeri Langkasuka diasaskan oleh orang-orang dari Kedah[17]. Dalam pada itu, Phonsawadan Muang Patani atau Hikayat Patani menyatakan seorang raja yang tidak diketahu namanya dari Kota Mahligai bertanggungjawab mengasaskan negeri ini.[18]

Ibrahim Syukri turut menyokong versi Kota Mahligai ini. Beliau menyatakan bahawa seorang raja dari Kota Mahligai tersebut telah membangunkan sebuah kampung pinggir pantai yang kecil ke sebuah pelabuhan yang besar dan sibuk hingga mengorbankan kemakmuran kota itu sendiri. Akhirnya, Kota Mahligai telah ditinggalkan kerana aktiviti perdagangan lebih tertumpu kepada pelabuhan yang baru. Kawasan atau pelabuhan baru itulah dikenali dengan nama Patani.[19]

1.1.2 Kedatangan Islam

Terdapat pendapat yang mengatakan Islam telah sampai ke Kepulauan Melayu seawal kurun pertama Hijrah atau kurun ketujuh Masihi lagi.[20] Dalam masa yang sama. tidak diketahui dengan pasti tarikh yang tepat Patani menerima Islam, namun kalau dilihat kebanyakan karya sastera sejarah dan merujuk kepada Teeuw dan Wyatt dan W.K Che Man, dapat disimpulkan bahawa Patani menjadi negeri Islam pada 1357.[21] Kemasukkan Raja Patani ke dalam Islam boleh diibaratkan sebagai sebuah cerita yang menarik seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah. Dikisahkan pada waktu itu Patani diperintah oleh Raja Phya Tu Nakpa. Raja tersebut dikatakan menderita sakit yang serius[22]. Baginda telah mendapat berita berkenaan seorang bernama Sheikh Said yang beragama Islam[23]. Beliau dikatakan mampu menyembuhkan sakitnya. Syeikh Said tersebut sanggup mengubati penyakit Raja Patani dengan syarat jika sembuh dari sakitnya maka Raja harus memeluk Islam[24]. Namun Raja Phya Tu Nakpa telah memungkiri janji setelah baginda sembuh dan menyebabkan baginda kembali sakit. Kejadian ini terulang sebanyak tiga kali. Pada kali ketiga inilah Raja sedar akan kesilapannya dan berjanji tidak akan memungkiri janjinya lagi. Setelah Raja sembuh dari sakitnya, beliau bersama keluarga dan pembesar istana memeluk Islam. Raja Phya Tu Nakpa telah menukar nama Sultan Ismail Shah. Sejak peristiwa itu, Islam mulai berkembang dan pengaruh Hindu-Budha mulai berkurang, lemah dan akhirnya hilang dari Patani[25].

Raja Phya Tu Nakpa atau nama Islamnya Sultan Ismail Shah dianggap pengasas negeri Patani. Beliaulah yang bertanggungjawab menukar nama kerajaan lama menjadi Patani yang bererti ‘Pantai Ini’.[26] Adalah dihikayatkan baginda secara kebetulan sampai ke suatu tempat yang indah dan sesuai untuk dijadikan negeri di tepi pantai. Riwayat lain mengatakan Patani berasal dari kata ‘Pak Tani’, sempena nama seorang nelayan yang baik budi pekertinya dan menjadi ketua kepada para nelayan di sebuah perkampungan pinggir pantai yang ditemui oleh Raja ketika beliau mencari lokasi negeri baru.[27] Ini disokong oleh Dr. Abdul Ghani Yaa’kub yang menyatakan bahawa nama Patani dikatakan lahir hasil gabungan dua perkataan Melayu iaitu ‘Pak’ dan ‘Tani’ atau Petani.[28]

Setelah berpindah ke Patani, Patani menjadi lebih ramai dan oleh karena lokasinya yang baik, tempat baru ini menjadi makmur dan mewah. Patani menjadi tarikan spara pedagang dari timur seperti Jepun, China, Siam dan Eropah[29]. Tercatat pada 1516 kapal dagang Portugis singgah pertama kalinya di pelabuhan Patani. Pinto, seorang saudagar dan penjelajah asal Portugis menyatakan:

"Pada masa saya datang ke Patani dalam tahun itu saya telah berjumpa hampir-hampir 300 orang Portugis yang tinggal di dalam pelabuhan Patani. Selain dari Portugis didapati juga bangsa-bangsa timur seperti Siam, China dan Jepun. Orang-orang Jepun besar juga perniagaannya di pelabuhan ini." [30]

Dalam pendapat yang lain pula, Muhammad Yusoff Hashim menyatakan nama Patani diberi oleh seorang raja bernama Chao Seri Bangsa.[31] Baginda dikatakan berjanji untuk memeluk Islam jika Kota Mahligai berjaya dikalahkan. Apabila perkara tersebut menjadi kenyataan, baginda telah memeluk Islam dan menghantar wakil baginda bernama Ukon Pola ke Melaka untuk memohon tauliah keabsahan.[32] Sultan Mahmud telah berkenan untuk menganugerahkan watikah tersebut serta memberi gelaran pemerintah Patani dengan nama Sultan Ahmad Shah.[33] Kerajaan Patani kekal dinaungi oleh Melaka sehingga kejatuhan Melaka pada tahun 1511.[34]

1.1.3 Hubungan Awal Dengan Siam

Selepas kemangkatan Sultan Ismail Shah, putera baginda telah ditabal menjadi sultan dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Baginda telah meneruskan kemajuan negerinya dan sering melakukan lawatan ke kerajaan-kerajaan berdekatan seperti Melaka dan Ayutthya. Namun dalam lawatan ke Siam yang dikenali sebagai Ayutthia, baginda telah dilayan dengan buruk oleh Raja Siam[35]. Raja Siam merasakan kedudukannya lebih tinggi darjat daripada Sultan Patani[36].

Sultan Muzaffar merasa amat terhina di atas layanan Raja Siam.Apabila mendapat tahu bahawa kerajaan Siam diserang oleh Burma pada 1563, Sultan Muzaffar Shah bersama adinda baginda Sultan Mansur Shah memanfaatkan kesempatan ini untuk menyerang Siam. Sebanyak 200 buah kapal perang dan ribuan tentera telah dikerah untuk menyerang Siam. Pada awalnya, wilayah-wilayah Siam jatuh ke tangan Sultan Muzaffar pada penghujung tahun tersebut[37].

Walaubagaimanapun, Sultan Muzaffar telah meninggal secara tiba-tiba di muara sungai Chao Phraya pada tahun 1564 dan dimakamkan di sana.[38] Sebelum meninggal dunia, baginda mewasiatkan takhta kekuasaan kepada adindanya, Sultan Mansur Shah. Diriwayatkan bahawa amanat ini dilakukan kerana hingga ke akhir hayatnya Sultan Muzaffar tidak mengetahui bahawa permaisurinya sedang hamil[39]. Sekalipun Sultan Muzaffar mempunyai anak dari selirnya iaitu Pengiran Bambang, namun dalam tradisi pewarisan takhta di kerajaan Melayu tidak mengiktiraf calon raja dari anak selir.[40] Ini membolehkan Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Sultan Patani yang baru (1564-1572).

Sebelum meninggal pada tahun 1572, Sultan Mansur Shah telah mewasiatkan agar anak saudaranya yang merupakan anak Sultan Muzaffar Shah dilantik menggantikan baginda[41]. Namun perlantikkan ini menimbulkan kebencian dan kedengkian dari Pengiran Bambang yang merupakan anak raja dari selir. Ahli sejarah mengatakan bahawa peristiwa ini merupakan titik awal perselisihan dan perebutan kekuasaan dalam istana. Tahun 1573-1584 merupakan tahun-tahun penuh gejolak bagi kesultanan Patani. Tercatat perebutan kuasa sebanyak dua kali yang mengakibatkan pembunuhan yang semuanya melibatkan anak-anak selir[42]. Tempoh ini digelar “Zaman Bertumpah Darah Dalam Istana[43].”

1.2 Kegemilangan dan Kemerosotan Kerajaan Melayu Patani

Patani mencapai zaman keemasannya ketika diperintah oleh empat orang Ratu iaitu Ratu Hijau (1584-1616), Ratu Biru (1616-1624), Ratu Ungu (1624-1635) dan Ratu Kuning (1635-1651)[44].

Pemerintahan ratu-ratu merupakan detik-detik kegemilangan dan kemakmuran kerajaan itu[45]. Kekuasaannya meluas hingga ke Kelantan dan Terengganu sehingga terkenal dengan nama Negeri Patani Besar atau Patani Raya. Kecuali Kerajaan Melayu Johor, tidak ada negeri lain di sebelah timur Semenanjung Melayu yang memiliki kemakmuran dan kekuatan sehebat Patani pada waktu itu[46].

Kekuatan negeri Patani tergambar dari kemampuannya mematahkan empat kali serangan kerajaan Siam pada 1603, 1632, 1634 dan 1638.[47] Patani memiliki 3 buah meriam besar yang sangat masyhur dinamakan Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Dari segi ketenteraan, kerajaan ini mampu mengerahkan 180,000 pasukan tentera yang terlatih serta kerahan tenaga seramai 10,000 orang[48]. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah kubu yang kukuh dikenali dengan nama Benteng Raja Biru[49].

Walaubagaimanapun, kejayaan ini hanya bertahan selama 67 tahun. Kemangkatan Ratu Kuning pada tahun 1651, Patani mengalami proses kemerosotan secara politik, ketenteraan dan ekonomi. Ini disebabkan Ratu Kuning tidak meninggalkan pengganti yang berwibawa. Berlaku konflik antara pembesar dan menyebabkan keadaan negeri menjadi huru-hara[50]. Situasi ini menyebabkan para pedagang asing memindahkan perniagaan mereka dan menyebabkan hasil kerajaan berkurangan[51].

Patani hanya menampakkan kemajuan ketika dipimpin oleh Raja Sakti I dan Raja Bahar yang mampu menyatukan Senggora (Songkla) dan Pethalung. Namun, pada akhir abad ke-17 ini Patani mulai kehilangan era keemasannya. Ketiadaan peperangan dengan Siam yang merupakan musuh tradisi bersama, menyebabkan wilayah-wilayah gabungan yang membentuk Patani Besar ini mula memisahkan diri.[52] Perang yang terakhir yang melibatkan Patani - Siam terjadi pada 1638. Sejak dari itu, tiada konflik ketenteraan yang ketara melibatkan kedua-dua kuasa di bahagian selatan.

Kekuatan politik dan daya tarik pelabuhannya sebagai pusat dagang utama juga semakin merosot, seiring dengan kemunculan pusat-pusat perdagangan baru seperti Johor, Melaka, Aceh, Banten dan Batavia (Jakarta)[53].

Sebagai negara perairan, ekonomi Patani sangat bergantung pada perniagaan dan perdagangan. Kemerosotannya pada bidang ini telah menyebabkan ekonomi Patani jatuh. Boleh dikatakan sejak awal abad ke-18, pelabuhan Patani hanya menjadi tempat persinggahan sahaja. Justeru itu, ia tidak lagi dianggap pusat perdagangan dan perniagaan yang penting. Ini ditambah dengan faktor ketidakstabilan politik, perpecahan wilayah dan krisis pucuk pimpinan, maka lengkaplah Patani menjadi "Orang Sakit di Semenanjung Melayu".

Lebih malang lagi ketika Patani merosot , Siam di bawah pimpinan Phya Taksin mula bangkit dan berhasil mengusir Burma dari seluruh wilayah Thai[54]. Keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan kekuasaan menyebabkan orang-orang Thai melancarkan pelbagai ekspedisi ketenteraan[55]. Kelemahan kerajaan Patani menyebabkan orang Thai mengambil kesempatan ini untuk menyerang dan menakluk Patani pada tahun 1785[56]. Serangan hebat Thai ini berjaya mengalahkan Patani dimana Sultan Mahmud yang memerintah ketika itu mangkat di medan perang[57]. Akibatnya, orang Thai telah melantik Tengku Lamidin sebagai pemerintah Patani yang baru[58].

Tempoh 46 tahun selepas itu menyaksikan orang-orang Patani terpaksa mempertahankan wilayah mereka dari serangan Siam sebanyak lima kali iaitu 1786, 1789, 1791, 1808 dan 1832. Dalam peperangan ini , tentera Siam telah berjaya membakar kota Patani dan memusnahkan kubu-kubu pertahanan tentera Patani yang utama. Tentera Thai telah membawa pulang hampir 4,000 tawanan ke Bangkok dan Ayuthaya[59]. Dua buah meriam besar Patani iaitu Sri Negara dan Sri Patani turut dirampas dan dibawa balik ke sana[60].

Tahanan-tahanan ini dilayan dengan kejam. Mereka dikatakan diikat secara berkumpulan di telinga dan kaki mereka dengan rotan bagi mengelakkan mereka melarikan diri. Dengan berkaki ayam, para tahanan telah dipaksa berjalan kaki sejauh 1,300 km dari Patani ke Bangkok dalam keadaan telinga dan kaki mereka terikat. Apabila sampai di Bangkok, mereka telah dijadikan sebagai hamba untuk menggali terusan-terusan di Bangkok dengan hanya menggunakan tangan-tangan mereka sahaja. Terusan-terusan ini dikenali dengan nama Klong Saen Saeb[61].

Raja-raja Patani dalam keempat-empat peperangan tersebut telah dibunuh oleh tentera-tentera Thai. Satu impak ketara peperangan pada tahun 1786 adalah apabila orang-orang Melayu Patani telah melarikan diri ke negara-negara luar terutama Makkah, negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan Pulau Sumatra. Imigrasi ini begitu ketara setiap kali orang-orang Thai melancarkan serangan terutama semasa pemerintahan Tengku Lamidin (1786-1791) dan pemerintah yang dilantik selepas beliau , Datok Pengkalan (1791-1808).

Selepas peperangan antara 1786-1832, Patani ini telah dibahagikan kepada tujuh wilayah yang diperintah oleh sultan-sultan yang berasingan. Tujuh wilayah pentadbiran itu dinamakan Pattani, Nhongchik, Raman, Ra-ngae, Saiburi, Yala dan Yaring. Tempoh 70 tahun ini (1832-1902) menyaksikan sultan-sultan dikehendaki membayar Bunga Emas setiap tiga tahun kepada Raja Thai sebagai tanda kekuasaan Raja Thai[62].

1.2.1 Berakhirnya Kerajaan Melayu Patani

Mulai tahun 1902, Patani berada sepenuhnya dalam cengkaman orang Thai. Apabila Perjanjian Bangkok antara Thai dan Inggeris ditandatangani pada bulan Mac 1909, Patani diserap menjadi wilayah Thai secara rasmi.

Kerajaan Thai telah membahagikan Patani kepada tujuh wilayah pentadbiran yang diperintah oleh pemerintah yang dilantik oleh kerajaan Thai di Bangkok. Walaubagaimanapun, wilayah-wilayah ini secara dasarnya masih dikuasai oleh para pembesar elit tradisonal Melayu yang mempunyai kuasa autonomi[63]. Dalam erti kata lain, raja-raja masih mengekalkan autoriti dalam wilayah yang lebih kecil.

Pada tahun 1899, Raja Chulalongkorn memulakan satu reformasi pentadbiran wilayah melalui Kementerian Dalam Negeri atau Mahatthai. Konsep pemusatan kuasa pusat yang dikenali dengan nama Thesaphiban diperkenalkan[64]. Perubahan yang paling mengejutkan di wilayah selatan adalah apabila pesuruhjaya yang dilantik telah mengambil alih kekuasaan dari raja-raja Melayu. Isu ini tertumpu kepada kutipan hasil cukai yang menjadi sumber utama pendapatan raja-raja Melayu. Ini menimbulkan konflik yang serius antara kedua belah pihak. Desakan dan aduan raja-raja Me;layu tidak dipedulikan oleh kerajaan Thai di Bangkok. Tambah mengeruhkan keadaan, lebih rami pegawai berbangsa Thai di hantar ke selatan hingga menimbulkan masalah kepada golonga elit Melayu Patani[65].

Pada tahun 1898, Raja Pattani Tengku Abdul Kadir Kamaruddin telah membuat aduan kepada kerajaan British di Singapura berkenaan dengan layanan Siam terhadap rakyat baginda[66]. Walaupun pada mulanya ada tanda-tanda menunjukkan Inggeris akan campurtangan, kepentingan perdagangan dan politik menyebabkan tiada tindakan yang sewajarnya dilaksanakan[67].

Perjanjian Bangkok 1909 telah mengukuhkan lagi kuasa orang-orang Thai di selatan. Kerajaan Thai telah meletakkan kawasan dominasi orang Melayu di dalam pentadbiran wilayah. Para birokrat Thai mula menggantikan pembesar-pembesar Melayu sebagai gabenor wilayah secara berperingkat berlandaskan sistem politik Thai.

Menerusi sistem pentadbiran baru, golongan elit Melayu tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam politik. Dari segi teori, satu-satunya cara untuk melibatkan dalam politik adalah menerusi perkhidmatan awam atau bertanding dalam pilihanraya. Namun, peluang untuk orang Melayu amat terhad dan terbatas. Ini disebabkan oleh latarbelakang pendidikan orang Melayu yang tidak mempunyai asas dalam sistem pendidikan Thai yang merupakan syarat utama.

1.3 Latarbelakang Masyarakat Melayu Patani

Seperti yang telah dibincangkan, Masyarakat Melayu Patani tertumpu di empat wilayah paling selatan. Walaupun secara rasmi mereka merupakan warganegara Thai berbangsa Melayu, mereka lebih dikenali sebagai Muslim Thai[68]. Pada masa lampau, mereka diistilahkan sebagai ‘Malayu’ atau ‘Khaek Malayu’ oleh kerajaan Thai[69].

Dari segi penggunaan bahasa, kebanyakkan mereka boleh berbahasa Thai. Namun, sebahagian besar masih mengekal dan bertutur dalam dialek Melayu tempatan dengan sebilangan kecil bertutur bahasa Thai sepenuhnya. Hanya orang Melayu di wilayah Satul sahaja yang bertutur dalam bahasa Thai sepenuhnya. Oleh kerana pengajian mereka berlandaskan bahasa Melayu dan tulisan jawi, ini menyebabkan mereka membaca, menulis dan bercakap dalam bahasa Melayu[70]. Bahasa Melayu ini memainkan peranan yang amat besar dalam kehidupan mereka. Ini disebabkan pertailian yang begitu ketara antara bahasa Melayu dan Islam.

Seperti di Malaysia, menjadi Melayu bererti beragama Islam. Ia bukan sahaja bersifat etnik, malah merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Ini terbukti dengan sistem pendidikan berasaskan pondok dan madrasah yang begitu ketara di empat wilayah-wilayah selatan tersebut.

1.5.1 Ekonomi

Penguasaan sepenuhnya kerajaan Thai ke atas wilayah-wilayah dominiasi Melayu telah membawa satu impak yang negatif dari segi ekonomi. Struktur ekonomi telah dikuasai oleh kapitalis cina dan birokrat bangsa Thai[71]. Para peniaga cina ini menguasai bidang peladangan dan perdagangan hingga menyukarkan penduduk tempatan untuk bersaing dalam perniagaan[72].

Walaupun ada yang terlibat dalam perniagaan kecil, kebanyakkan orang Melayu Patani bekerja sendiri sebagai petani, pekebun getah dan nelayan[73]. Wilayah-wilayah selatan Thai kaya dengan sumber-sumber semulajadi yang memungkinkan penduduk-penduduk menanam tanaman tempatan seperti getah, kelapa dan buah-buahan tropika. Pantai yang berteluk juga membekalkan ikan-ikan yang banyak kepada para nelayan. Walaubagaimanapun, pertanian dan perikanan merupakan pekerjaan bermusim. Ini ditambah dengan ancaman dan saingan dari aktiviti perikanan berskala besar yang semakin berkembang[74].

Kajian terbaru mendapati wilayah-wilayah ini juga kaya dengan hasil-hasil galian seperti bijih timah, emas dan gas asli. Namun, jika diukur dari segi ekonomi wilayah ini masih mundur jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain di Thailand[75].

1.5.2 Keagamaan

Dari sudut yang lain, pimpinan keagaamaan turut memainkan peranan yang amat besar dalam masyarakat. Golongan elit agama mempunyai pengaruh yang kuat terutama dalam menjadi orang tengah antara masyarakat dan kerajaan. Mereka amat dihormati dan diterima sebagai pemimpin masyarakat[76].



[1] Lihat Mohd. Zamberi A. Malek, Patani Dalam Tamadun Melayu, hlm. 12.

[2] Untuk perbincangan lebih mendalam berkenaan topik ini, lihat Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm.12. Lihat juga D.G.E. Hall, A History of South East-Asia (London : McMillan, 1981).

[3] Lihat D.G.E. Hall, A History of South East-Asia, hlm. 30. Ahmad Omar Chapakia dalam buku beliau menyatakan sebuah kerajaan tua di bahagian Selatan Atas Thai bernama Tambarlinga turut wujud waktu itu. Kerajaan ini dikatakan sebuah kerajaan yang berpengaruh sekitar abad ke-12. Langkasuka pula merupakan kerajaan yang dari sego geografinya terletak di wilayah Selatan Bawah. Lihat Ahmad Omar Chapakia, Politik Thai dan Masyarakat Islam, hlm. 4.

[4] Lihat Paul Wheatley, The Golden Chersonese, Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula Before A.D. 1500 (Kuala Lumpur : Penerbit UM, 1966).

[5] Lukman Thaib, The Politics and Governments, hlm. 92. Lihat juga Paul Wheatley, The Golden Khersonese.

[6] Lukman Thaib dalam penjelasan beliau telah menggunakan sumber dari artikel G.E. Marrison (lihat nota hujung 138) , ‘A Visit to Patani’ dimana dalam halaman 24-25 terdapat pernyataan sumber-sumber China berkenaan kerajaan Langkasuka.

[7] Ibid.

[8] Paul Wheatley, The Golden Khersonese,hlm. xx.

[9] John Braddle, ‘Notes on Ancient Times in Malaya, dlm. JMBRAS, Jilid 23, Bhg. 1, 1950, hlm. 1-35.Lihat juga Mohamad Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal (Kuala Lumpur : DBP,1979).

[10] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 5.

[11] Sumber terawal dari China menyebut bahawa Lang-ya-Hsiu dikatakan muncul sejak abad ke-2 Masihi atau sekitar 100 Masihi. Lihat Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 2.

[12] Untuk perbincangan lanjut berkenaan kerajaan-kerajaan Hindu di Asia Tenggara waktu itu, lihat George Coedes. The Indianized States of Southeast Asia (Kuala Lumpur : Penerbit UM, 1968). Lihat juga Hall, A History of South-East Asia.

[13] Lihat George Coedes. The Indianized States of Southeast Asia, hlm. 51.

[14] Lihat Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 8.

[15] Berdasarkan penulisan pakar ahli arkeologi Prof. Nik Hassan Shuhaimi, terdapat bukti bahawa kawasan tersebut mempunyai kaitan dengan Srivijaya kerana tulisan yang dijumpai di Ligor merupakan tulisan Srivijaya dinasti Sailendra bertarikh 775 M. Terdapat juga arca Ávalokitesvara’yang dijumpai di Sathingpra (selatan Thailand) yang ada kaitandengan pengaruh dan hubungan dengan Srivijaya. Lihat Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka Evolusi atau Migrasi (Bangi : Penerbit UKM, 1999) hlm. 29-30.

[16] Untuk perbincangan lanjut, rujuk Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam (Kuala Lumpur : Utusan Publications, 2000), hlm. 312.

[17] Lihat W.K. Che Man, Muslim Separatism, hlm. 32.

[18] Lukman Thaib, The Politics and Governments, hlm. 93. Lihat juga Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 313.

[19] Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 14. Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar secara tepat berkenaan dengan peristiwa ini. Menurut Lukman Thaib, penulisan Tom Pires menyatakan wilayah tersebut telah wujud sejak 1370. Sementara itu, pelayar-pelayar masih merujuk wilayah ini sebagai Langkasuka semasa pelayaran Laksamana Cheng-ho sekitar tahun 1403. Lihat Lukman Thaib, The Politics and Governments, hlm. 93.

[20] Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu (Kuala Lumpur: DBP, 1998),hlm. 13. Pada pendapat beliau Islam telah sampai ke daerah utara Sumatera pada ketika itu dan kerajaan Islam yang pertama ialah Perlak yang diasaskan oleh orang Arab sekitar tahun 840 Masihi.

[21] Teeuw dan Wyatt, Hikayat Patani, hlm. 222. Lihat juga W.K. Che Man, Muslim Separatism, hlm. 32. Dalam penerangan Dr. Abdul Ghani Yaa’kub bertarikh 14 Mac 97, beliau menyatakan bahawa kerajaan Patani ini diasaskan sekitar abad ke-10. Beliau turut menyatakan bahawa Raja Patani memeluk Islam sekitar tahun 1350 dan memakai gelaran Sultan Ismail Shah.

[22] Adalah dipercayai bahawa penyakit yang dihidapi oleh Raja Patani ini merupakan penyakit kusta. Lihat Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, Bab 2, hlm. 44, nota kaki 4. Untuk maklumat lanjut, rujuk Teeuw dan Wyatt, The Story of Patani, hlm. 148-152. Hikayat Patani juga boleh didapati menerusi laman web PULO.

[23] Terdapat beberapa versi dan ejaan yang berbeza berkenaan nama tokoh yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Patani itu . Sebagai contoh dinyatakan Tuan Sheikh Syafialudin dalam Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 16; Sheikh Said disebut dalam Teeuw dan Wyatt, The History of Patani, hlm. 68-69 dan 149; Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 31 dan Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama’Besar Dari Patani, hlm. 16; Nama Shyakh Said tercatat dalam Hasan Madmarn, The Pondok and Madrasah, hlm. 14. Dalam W.K. Che Man, Muslim Separatism, hlm. 34, tercatat bahawa pendakwah Islam yang menyembukan Sultan Patani bernama Sheikh Said atau Safi-uddin. Abdul Rahman Abdullah dalam Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara dalam halaman 313 menyatakan bahawa Syaikh Said al-Barsisa (seorang ulama’dari Pasai) berjaya mengislamkan baginda pada tahun 1457. Mohd. Zamberi A. Malek pula menjelaskan bahawa terdapat tiga ulama’bersahabat yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di sana. Mereka merupakan Sheikh Said al-Barsisa atau Tok Pasai, Sheikh Shaf ad-Din al-‘Abasi dan Sheikh Gombak Abdul al-Mubin. Sheikh Said merupakan ulama’yang bertanggungjawab menyedarkan Raja Patani supaya memeluk Islam. Lihat Mohd. Zamberi Abdul Malek, Wadi al-Hussein, hlm. 21.

[24] Ibid., hlm. 31.

[25] Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Islam telah bertapak di Patani seawall tahun 1150. Setelah berkembang selama 300, barulah Islam diterima oleh pemerintah. Lihat Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 313.

[26] Lihat artikel “Hilangnya Sebuah Negeri Islam Melayu” dalam laman web PULO www.pulo.org (20 Mac 2001).

[27] Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 14.

[28] Lihat Abdul Ghani Ya’kub, ‘Alam Malayu wal Aqliyyat al-Islamiyyah’, hlm. 23.

[29] Lihat Virginia Matheson dan M.B. Hooker, “Jawi Literature in Patani : The Maintenance of An Islamic Tradition” dlm. JMBRAS, Vol. 61, Bah. 1, No. 254, hlm. 6.

[30] Artikel “Hilangnya Sebuah Negeri Islam Melayu”.

[31] Muhammad Yusoff Hashim, terj. D.J. Muzaffar Tate, The Malay Sultanate of Malacca (Kuala Lumpur : DBP, 1992) hlm. 39.

[32] Ibid.

[33] Ibid. Buku ini tidak menyatakan tarikh atau tahun sebenar peristiwa tersebut. Walaubagaimanapun, disebut dinyatakan bahawa dari tahun 1488 hingga 1511, Sultan Mahmud bertanggungjawab menjamin keselamatan dan kemakmuran kerajaan-kerajaan kecil di bawah naungan kerajaan Melayu Melaka.

[34] Ibid., hlm. 145.

[35] Untuk perbincangan lanjut berkenaan kerajaan Ayutthya, lihat Charnvit Kasetsiri, The Rise of Ayudhya : A History of Siam in the Fourteenth and Fifteenth Centuries (Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1976), Phra Sarasas, My Country Thailand : Its History, Geography and Civilisation (Bangkok : t.p., 1960).

[36] Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 20.

[37] Ibid. Peristiwa serangan ke atas Ayutthya juga diceritakan dengan panjang lebar dalam Teeuw dan Wyatt, The Story of Patani, hlm. 154-161.

[38] Untuk salasilah Kerajaan Melayu Patani lihat artikel laman web PULO, ‘ Ringkasan Sejarah Melayu Patani : Summary of the History of the Kingdom of Malay Patani’ dalam www.pulo.org.

[39] Menurut pendapat, semasa baginda berada di Ayuthya, pemaisuri yang sedang hamil telah melahirkan seorang putera. Putera tersebut diberi nama Patik Siam mengambil sempena tempat mangkatnya ayahanda baginda. Lihat A. Bengnara, Patani Dahulu dan Sekarang, hlm. 13.

[40] Lihat “Hilangnya Sebuah Negeri Islam Melayu”. Anak selir membawa maksud anak hasil hubungan raja dengan gundik atau isteri tidak rasmi. Lihat Noresah Baharom ,et.al., Kamus Dewan Edisi Ketiga (Kuala Lumpur : DBP, 2000), hlm. 1222. Dalam erti kata lain, anak raja yang bukan dari pemaisuri baginda.

[41] Putera Sultan Muzaffar Shah yang berusia 10 tahun waktu itu merupakan pewaris sah kesultanan Patani.

[42] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 42-44. Tempoh ini menyaksikan pemerintahan singkat Sultan Patik Siam (1572-1573) dan Sultan Bahadur Syah (1573-1584).

[43] Lihat A. Bengnara, Patani Dahulu dan Sekarang, hlm. 14.

[44] Lihat Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 38.

[45] Ibid., hlm. 73.

[46] Mohd. Zamberi A. Malek, Patani Dalam Tamadun Melayu, hlm. 3.

[47] Lihat Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 36.

[48] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 77.

[49] Lihat Ibrahim Syukri, History of the Malay Kingdom of Patani, hlm. 36.

[50] Lihat Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Patani, hlm. 19.

[51] A. Teeuw dan D.K. Wyatt, The History of Patani, hlm. 72. Lihat juga halaman 94 dalam buku yang sama.

[52] Wilayah-wilayah dalam gabungan Patani Besar meliputi Kelantan, Trengganu, Patani Awal, Senggora dan Pethalung. Siam atau Thai ketika itu sedang berperang dengan Burma. Sedikit sebanyak peperangan tersebut menjejaskan ekonomi Patani yang sudah sedia lemah. Lihat Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Patani, hlm.19.

[53] Untuk perbincangan lanjut, lihat Sivachandralingam Sundararaja, Perdagangan dan Pelabuhan Bebas, Sejarah dan Perkembangannya (Shah Alam : Fajar Bakti, 1997).

[54] Terdapat sumber-sumber luar yang membincangkan berkenaan sejarah Thai-Patani terutama dengan terbinanya kota Bangkok pada tahun 1782. Lihat Lihat Virginia Matheson dan M.B. Hooker, “Jawi Literature in Patani”, hlm. 6.

[55] Lihat Nantawan Haemindra. “The Problem of the Thai-Muslims in the Four Southern Provinces of Thailand,” dalam Journal of Southeast Asian Studies, Vol. 8 No. 1, March 1977.

[56] Serangan ini diketuai oleh Putera Mahkota Siam. Ekspedisi ketenteraan ini dilancarkan terhadap kawasan-kawasan bebas di selatan termasuk Kelantan dan Terengganu. Uthai Dulyakasem“The Emergence and Escalation of Ethnic Nationalism : The Case of the Muslim Malays in Southern Siam”, dlm. Taufik Abdullah & Sharon Siddique (peny.) . Islam and Society in Southeast Asia (Singapore : ISEAS, 1986), hlm. 211.

[57] Lihat A. Bengnara, Patani Dahulu dan Sekarang, hlm. 32. Orang-orang Thai berjaya mendapatkan pengiktirafan yang diinginkan dari kawasan-kawasan telah dikalahkan. Nantawan Haemindra, “The Problem of the Thai-Muslims” dalam hlm. 199-201 membincangkan secara menyeluruh berkenaan dengan aspek ini.

[58] Ibid., hlm. 33. Lihat juga Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Patani, hlm. 20.

[59] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 98.

[60] Meriam-meriam tersebut hingga ke hari ini masih diletakkan di pintu gerbang hadapan Kementerian Pertahanan Thailand di Bangkok. Lihat A. Bengnara, Patani Dahulu dan Sekarang, hlm. 33. Gambar meriam-meriam ini boleh dilihat dalam laman web PULO.

[61] Ibid.

[62] Mohd. Zamberi A. Malek, Umat Islam Patani, hlm. 102. Lihat dibawah topik ‘Tujuh Negeri Patani’.

[63] Lihat Ivan Lee Synn Leng, “Separation in Southern Thailand : Prospects for A Solution” dlm. The Haegate Papers, Vol. 6, 1999, hlm. 18.

[64] Lihat Nantawan Haemindra, “The Problem of the Thai-Muslims” dalam hlm. 201-202. Lihat juga W.K. Che Man, Muslim Separatism, hlm. 62.

[65] Lihat Margeret L. Koch, “Patani & the Development of A Thai State” dlm. JMBRAS, Vol. 50 Bhg. 2 No. 232, 1977, hlm. 71.

[66] Untuk perbincangan lanjut, rujuk Surin Pitsuwan. “Islam And Malay Nationalism : A Case Study of The Malay – Muslims of Southern Thailand”. Tesis Ph.D. Harvard University, 1982, hlm. 31. Lihat juga Margeret L. Koch, “Patani & the Development of A Thai State”, hlm. 74.

[67] Kementerian Luar British telah menolak cadangan Pejabat Tanah Jajahan British dengan menyatakan ‘ Colonial Office suggestions were rejected because they would unduly alarm the king and make him think the British were trying to seize his territory ….. British policy continued to suppoet Siam’s claimed authority.’ Lihat Margeret L. Koch, “Patani & the Development of A Thai State”, hlm. 81.

[68] Uthai Dulyakasem“The Emergence and Escalation of Ethnic Nationalism”, hlm. 216.

[69] Ibid.

[70] Lihat Hasan Madmarn, The Pondok and Madrasah, hlm. 49.

[71] Uthai Dulyakasem“The Emergence and Escalation of Ethnic Nationalism”, hlm. 219.

[72] Walaupun dari segi statistik etnik cina hanya 6 % dari jumlah keseluruhan penduduk empat wilayah ini, mereka menguasai sebahagian besar pai ekonomi. Kebanyakkan premis perniagaan dimiliki oleh orang-orang cina. Malah, hampir semua lading-ladang getah dikuasai oleh mereka. Monopoli perniagaan cina bukan sahaja berlaku di bahagian selatan, malah di wilayah-wilayah lain di Thailand. Semenjak zaman Raja Mongkut hingga zaman Raja Prajadhipok, orang cina memonopoli sektor pekerjaan terutama menerusi sistem corvee atau buruh paksa. Sistem ini telah membuka peluang orang cina dalam sektor ekonomi yang lain. Akibatnya banyak kerja dimonopoli oleh bangsa cina. Selepas berlaku revolusi, satu undang-undang telah dibentuk. Undang-Undang Kenderaan 1939 diluluskan dimana teksi hanya boleh dipandu oleh orang Thai sahaja. Ini adalah satu kesinambungan Dekri DiRaja 1932 yang menkhususkan 27 pekerjaan untuk orang-orang Thai. Pekerjaan ini termasuklah peguam, pembuat batu-bata, penjahit pakaian, pembuat topi, pengukir imej Buddha, pedandan rambut, pembuat payung dan lain-lain lagi. Undang-Undang Sarang Burung 1939 dan Akta Garam 1939 pula diluluskan untuk menafikan penguasaan dan monopoli orang cina dalam bidang tersebut yang sekaligus menampakkan dasar anti-cina. Lihat Frank H. Golay, et.al.(1969) Underdevelopment and Economic Nationalism in Southeast Asia (New York : Cornell University Press, 1969), hlm. 267, 274 dan 315.

[73] Ahmad Omar Chapakia, Politik Thai dan Masyarakat Islam, hlm. 32. Lihat juga P.B. Lafont terj. Mohd. Zain Musa, Semenanjung Indochina Suatu Pengenalan (Kuala Lumpur : DBP, 1996) hlm. 89.

[74] Untuk perbincangan lanjut berkenaan petani dan nelayan di wilayah selatan Thai, lihat Thomas M. Fraser, Fishermen of South Thailand : The Malay Villagers (New York : Holt, Richard and Winston, 1966). Lihat juga Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southern Thailand (Ithaca, New York : Cornell University Press, 1960) oleh penulis yang sama.

[75] Lihat Ahmad Omar Chapakia, Politik Thai dan Masyarakat Islam, hlm. 31.

[76] Uthai Dulyakasem“The Emergence and Escalation of Ethnic Nationalism”, hlm. 225.

1

Tiada ulasan:

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...