Jumaat, Jun 30, 2017

Catatan Introvert: PASCA SPM ...PENETAPAN MATLAMAT SEBELUM KE UNIVERSITI

dari ChangkatNingkeBTP
Imbas kembali senario berikut. Ini berlaku hampir 26 tahun lalu. Saya bersekolah menengah aliran agama  di sebuah sekolah menengah agama JAIS di Shah Alam. Keputusan SPM saya sederhana sahaja. Namun, layak lah ke universiti. Harapan keluarga cukup menggunung tinggi untuk melihat bukan sahaja saya masuk universiti, tetapi ke Universiti Malaya. Dek kerana prestij dan nama universiti yang gah. Isunya adakah saya layak? Apakah ada bidang yang menjadi minat saya? Adakah ini yang saya inginkan? Budak introvert macam saya tentunya sukar meluah pandangan. Lebih banyak melihat dan mengimpi.


Senario dan dilema ini tentunya sentiasa akan muncul setiao kali selepas keputusan SPM diumumkan. Sudah tentu sebahagian besar adik-adik merancang untuk menyambung belajar dan rata-ratanya tentunya ingin ke kolej atau universiti. Pilihan untuk menyambung pelajaran tentunya pelbagai. Tentunya pilihan sangat banyak yang mana Malaysia mempunyai 28 universiti berstatus matang (ditubuhkan 15 tahun ke atas), 47 buah universiti yang sedang berkembang, 30 kolej universiti, 36 politeknik, 8 kampus universiti antarabangsa dan sekitar 320 kolej swasta. Itu belum mengambilkira pusat-pusat kemahiran dan yang berkaitan dengan pendidikan pasca SPM.
Tentunya bagi yang bercita-cita untuk menyambung kembara ilmu selepas SPM, pilihan kursus adalah sangat penting. Ini kerana terdapat pelbagai pilihan kursus di pelbagai peringkat bermula dengan Tahun Asas, diploma dan sarjana muda. Pemilihan kursus yang betul pastinya merupakan sangat penting dalam menentukan kerjaya selepas itu. Fokus artikel ini bukan untuk memberi maklumat universiti atau kursus mana yang sesuai. Ia lebih kepada perkongsian tentang apa yang perlu diambilkira dalam menentukan kursus yang diminati buat mereka yang bercita-cita untuk ke universiti.
Perkara paling mustahak adalah apakah impian dan matlamat kita.  Penulis buku Think and Grow Rich”, Napoleon Hill mengutarakan “A goal is a dream with a deadline”. Beliau mengkaji sekitar 500 tokoh yang membentuk dunia moden Amerika Syarikat dan membuat satu rumusan bahawa semua bermula dengan impian yang sangat fokus matlamatnya. Justeru itu, amat penting untuk kita mengenali minat dan kekuatan serta kelebihan diri kita. Ini kerana antara petanda awal kegagalan adalah kita sentiasa banyak beralasan, pesimis dan tiada matlamat.
Memilih program untuk menyambung kembara ilmu selepas SPM kerap dilihat satu pembuatan keputusan yang cukup kompleks. Ini tentunya disebabkan oleh ratusan program yang ditawarkan di Malaysia. Namun, jika kita kembali kepada asal iaitu apakah impian kita, pilihan itu akan lebih mudah. Secara ringkas, tanya kepada diri anda 4 persoalan mudah.
Untuk itu, tanya diri anda beberapa soalan mudah berikut:
1.    Apa minat anda?
2.    Apakah hobi anda?
3.    Subjek-subjek apa yang anda mahir dan kerap mendapat gred tinggi
4.    Adakah minat, subjek dan hobi kita boleh menjurus kepada kursus yang diinginkan dan akhirnya membawa kepada pembinaan karier anda?
Tentunya anda mampu menjawab 2-3 persoalan di atas. Contohnya, Pelajar A suka menolong orang lain dan gemar belajar subjek sejarah di sekolah. Pelajar B pula sangat gemar dengan komputer. Satu permulaan yang baik. Jika seorang yang minat subjek sejarah, tentunya sangat sesuai mengambil bidang-bidang sains sosial dan perundangan. Minat kepada komputer boleh membawa beberapa opsyen cukup menarik dalam bidang Teknologi Maklumat dari software ke hardware. Jika pelajar C pula cukup berminat kepada eksperimen tentunya boleh membawa ke bidang sains hayat seperti bioteknologi dan banyak lagi. Namun harus diingat mempunyai ijazah sarjana muda atau diploma bukan satu jaminan bahawa kita akan mendapat pulangan pendapatan yang lumayan setelah bekerja. Ini satu persepsi yang kerap terjelma kepada hampir sebahagian besar mereka yang menyambung pengajian di universiti.
Kejayaan atau mungkin sudut pendapatan itu akan datang dengan minat yang akhirnya membawa kepada karier dan bukan kerja semata-mata. Namun, seperkara yang perlu diambil perhatian adalah karier kita ditentukan oleh apa yang kita pelajari dan bukan hanya atas nama ijazah atau diploma yang kita perolehi. Carilah kursus yang turut mampu memberi kita skil untuk menulis secara kritis, berfikir secara analisis dan berkomunikasi dengan baik. Tiga skil ini sangat-sangat dipandang penting oleh bakal majikan.
Universiti sangat berbeza berbanding sekolah. Anda akan didedahkan dengan pelbagai bidang yang holistik dan inklusif. Apa yang penting pastikan universiti dan kursus idaman anda bukan sahaja mendapat pengiktirafan dan mempunyai akreditasi MQA, malah turut menawarkan progran-program ko-kurikulum  dan aktiviti yang bukan sekadar melepas batuk di tangga. Pastikan subjek-subjek ditawarkan juga mampu memberikan penekanan kepada tiga skil idaman majikan tadi. Pastikan juga subjek-subjek Matapelajaran Umum (MPU) juga akan memberi impak besar kepada pembinaan karektar anda sebagai seorang graduan holistik. Jengah juga jabatan hal ehwal pelajarnya (HEP), kenalpasti adakah aktiviti jabatan HEP itu cukup cakna dalam melahirkan pelajar yang lengkap dan benar-benar bersedia sebagai pemimpin masa depan.
Seterusnya, ibubapa terutamanya perlu sedar ada di kalangan anak kita yang berkeperluan khas dan ada yang dalam kategori OKU. Mereka ini sekiramya diberi peluang dan ruang  mampu cemerlang di peringkat pengajian tinggi. Mereka ini punya potensi hebat dan luar biasa. Punya minat dan keinginan. Ia perlu disuburkan dengan memberi semangat serta kekuatan dengan doa yang tidak putus. Ramai anak-anak sebegini mampu cemerlang dalam bidang yang mereka minati. Malah ada yang menerima anugerah kecemerlangan akademik di universiti. Beri mereka ruang menerusi mengupayakan mereka dan memberi hak kepada mereka untuk menyambung pengajian dan cita-cita mereka. Beri mereka kekuatan dan percayalah kekuatan mereka pasti akan kemudiannya memberi kesan positif kepada ibubapa dan keluarga.
Adalah sangat penting untuk anda semua yang sedang berkira untuk menyambung pelajaran selepas SPM untuk menyedari apakah kecenderungan, minat dan impian kita. Pilihan kolej atau universiti pula perlu diteliti sebaiknya. Paling penting juga penyambungan kembara ilmu ini bukan semestinya di universiti atau kolej.  Ia bergantung dengan kemahiran dan minat masing-masing. Sebagi contoh, fokus sekarang adalah TVET. Kemahiran vokasional sedang berkembang pesat, Ini tidak semestinya di universiti. Industri revolusi ke-4 yang sedang menghampiri tidak memerlukan terlalu ramai jurutera. Dunia lebih perlu ahli teknikal. Namun, paling penting adalah sikap dan fokus serta kekal dengan matlamat.
Jika memang pilihan di univeristi, semestinya agar pengetahuan yang diperolehi perlu tidak sekadar melahirkan seorang graduan tapi sebagai seorang manusia holistik yang lepas laku serta mampu mengakar masyarakat dan agamanya. Mulakan dengan langkah dengan membuat keputusan apakah impian kerjaya anda. Gambarkan impian anda. Rancangkan. Tuliskan impian anda. Ceritakanlah impian anda. Tetapkan tarikh akhir. Bertindaklah. Apa yang penting, percayalah pada diri. Kerana anda perlu yakin anda adalah yang terbaik dan orang yang terbaik pasti berhasil. In Sha ALLAH dengan doa yang berterusan, pasti kembara ilmu pasca SPM pasti menjadi satu kejayaan yang paling manis.

Tiada ulasan:

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...